Subscribe:

Thursday, 24 January 2013

Teknik Mendorong Gaya Nabi Muhammad : Perkongsian 4

Teknik Mendorong Gaya Nabi Muhammad : Perkongsian 4

 Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya di dalam kelas bagi :
  • Subjek : Al-Quran Hafazan
  • Masa : Pertama / Sesi Petang
  • Tahun : 4 Iltizam
Terlebih dahulu, suka untuk dimaklumkan bahawa kami guru-guru SRA di bawah kendalian JAWI bertugas untuk dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang di mana setiap sesi selama dua jam setengah (2 1/2) . Maka kami akan bertugas sebagai guru kelas dan guru matapelajaran jugalah untuk kedua-dua sesi berkenaan cuma yang berbeza adalah murid sahaja kerana murid sesi pagi sek kebangsaan akan ke sekolah agama pada sesi petang begitu juga sebaliknya. Oleh kerana sekolah saya dikategorikan sekolah besar dan lengkap infrastruktur (ada makmal komputer/perpustakaan/dewan dll) maka jumlah murid yang ada dan jadual guru amat padat bagi kedua-dua sesi. Ini bagi memenuhi permintaan masyarakat setempat. Sebelum ini saya hanya berkongsi pengalaman saya (3 catatan terdahulu) bagi kelas sesi pagi iaitu 2 Istiqomah.

Saya merupakan Guru Kelas bagi 4 Iltizam (kelas ranking ke-3 dari 4buah kelas). Murid-muridnya seramai 30 orang dan majoriti lelaki (hehehe). Oleh kerana saya pernah memasuki kelas ini semasa mereka di tahun 3, maka mereka tidak asing bagi saya dari segi motivasi belajar, penguasaan jawi al-quran, mahupun karenah masing-masing.

Kisah Si Jebat

Cuma kali ini saya ingin berkongsi pengalaman istimewa dengan murid saya yang seorang ini. Beliau merupakan bekas anak murid saya tahun lepas (2 Istiqomah, 2012). Namanya Muhammad Jebat Firdaus, ya.. memang serupa nama dengan pahlawan Melaka "Hang Jebat"

Prestasinya di kelas saya bagi tahun lepas adalah di tempat pertama dari belakang. Malah prestasinya amat jauh berbeza dengan rakan-rakan sekelas.

Tahun lepas saya berprasangka "Budak nie malas bebenar" (salah)
"Kenapa awak nie Jebat asyik tidak bawa buku" (salah)

"Kenapa awak malas membaca Jebat oi...!? " (salah)
"Sudah berapa banyak ayat yang awak sudah hafal Jebat?" - "Haa.. baru 3 ayat saja...!" (salah)
"Apa nak jadi lah awak nie Jebat..!" (salah)
"Cuba awak tengok orang lain, semua dah hafal ayat yang ustaz suruh" (salah)

Serta lain-lain kata perlian, pertanyaan, merisik, ala-ala sarkastik bunyinya. (Huhuhu, isk dulu). Walaupun saya sentiasa ambil berat, cakna akan prestasinya cuma beliau masih belum mencapai tahap yang sepatutnya beliau miliki. Saya rasa terkilan malah kecewa bila memikirkannnya malah semacam putus harap juga terdetik di bisikan jahat hati. (oh, teknik perli dan provokasi kerap diguna dalam kursus wajib iaitu _ _ _ ) Sedikit sebanyak terpalit pada saya.

Sebab itu saya cuba membaca perkongsian Trainer aka sifu-sifu guru Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi Muhammad bagi mencari alternatif. Mungkin kena ubah strategi lain kot dari apa yang saya amalkan sebelum ini?!

Itu kisah tahun lepas. Ya, beliau masih berada di takuk kegemarannya iaitu di tangga terakhir.

Tahun ini saya tekad untuk melihat adakah perubahan boleh dilakukan ke atas anak istimewa ini. Beliau berpotensi namun perlu didorong. Maka tahun ini Allah bagi peluang pada saya sekali lagi untuk menjadi guru kelas beliau merangkap Guru Al-Quran & Hafazan serta Tajwid. Kali ini saya tidak lagi mendesak-desak, marah-marah, perli beliau.

Saya ubah pendekatan dengan :
  • PUJI Prestasi / Usaha *walaupun hasil masih rendah
  • Beri Senyuman *Ganjaran sosial
  • Puji/Doakan beliau di hadapan khalayak kelas
Hasilnya pada hari Rabu lepas, beliau jumpa saya dan berkata :

"Ustaz, saya dah hafal 13 ayat surah al-A'la"
Memang saya beri tugasan menghafal sehingga 13 ayat

"Cuba awak baca, ustaz akan dengarkan"

Beliau membaca dan walaupun ada sedikit tersangkut-sangkut yang saya cepat-cepat bagi 'hint' , beliau benar-benar dapat menghafalnya.

Saya kemudian memuji beliau :
"Bagus Jebat, sudah hafal 13 ayat. Tentu 6 ayat seterusnya kacang (aka mudah) bagi awak. Ustaz yakin dengan kebolehan awak...!"

Beliau tersenyum. Mungkin dalam hati beliau terdetik "Aik, ustaz nie orang lain ker? Tak sama" . Beliau terus membaca dan cuba menghafal ayat seterusnya iaitu ayat 13-16 pula. Maka saya terus temankan beliau membaca bersama-sama sebagai dorongan. Oleh kerana hari ini hari Rabu, ramai murid tidak hadir ke sekolah agama kerana mengikuti kokurikulum atau sukan di sekolah kebangsaan maka dapatlah saya berikan ruang dan perhatian pada beliau lagi.

Alhamdulillah, sebelum kelas tamat masa pertama beliau berjaya menghafal sehingga ayat ke-16. Bermakna beliau telah menghafal 3 ayat semalam + 3 ayat baru hari ini (6 ayat). Waah.. rekod baru nie...!

Heheheh.. saya rasa lega dan takjub. Oh, saya lupa memberitahu bahawa beliau masih merangkak membaca al-Quran dan beliau menghafal dengan mendengar, kemudian barulah cuba mengeja kalimah di dalam al-quran. Jika ikutkan dia berada di Tahap Iqra' 4 sahaja (kalimah vs ayat).

Inilah perkongsian saya pada kali ini.
"Selamat Tinggal Teknik Perlian"
"Selamat Jalan Teknik Marah-Marahan" (hehehe ada ke perkataan ini?!)
"Selamat Maju Jaya, wahai muridku Jebat, Semoga terus gagah segagah Hang Jebat mempertahankan kebenaran"

------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Perkongsian kisah adalah bagi memberi idea dan peluang bagi pendidik/ibubapa di luar sana akan keberkesanan Teknik Mendorong Gaya Nabi Muhammad. Serius, ia mudah dan praktikal
25/01/2013 @Setapak

4 comments:

Wahab Disini said...

salam..
terus menulis ya Ustaz.. walaupun saya bukan seorg guru..saya akan guna-pakai utk di tempat2 lain yg sesuai..

Maryati said...

Teruskan perjuangan, ustaz!

Mohd Haidhir Md Yusof said...

Terima kasih atas komentar dan galakkan saudara-saudari. Perkongsian ini adalah bagi memberikan idea kepada kita semua akan pendekatan terhadap murid/anak/semua .. Insya Allah.

fadilah hamid said...

Assalamualaikm ustaz..syukran atas perkongsian..saya bertekad saya juga dapat meninggalkan teknik2 salah sebelum ni dan dapat istiqomah mengamalkan teknik gaya Nabi Muhammad S.A.W ni..

Post a Comment